Sunday, 11 March 2012

BERSUCI (MENYUCIKAN NAJIS)

Apa yang dimaksudkan najis?

Najis bermaksud kekotoran yang menghalang sahnya sembahyang, yakni; tidak sah sembahyang jika terdapat pada pakaian atau badan atau tempat sembahyang. Pada dasarnya, setiap benda yang ada di alam ini adalah suci dan tidak najis kecualilah perkara-perkara yang telah dinyatakan oleh Syara’ sebagai najis. Selagi tidak ada nas atau dalil Syara’ menjelaskan bahawa sesuatu itu najis, maka ia kekal dengan hukum asalnya iaitu suci dan bersih.

Apakah benda-benda yang dianggap najis oleh Syarak?

Menurut Imam Ibnu Rusyd; empat benda disepakati oleh ulamak sebagai najis, iaitu;
1. Bangkai haiwan darat yang berdarah mengalir
2. Daging babi
3. Darah dari haiwan darat jika ia mengalir, yakni banyak.
4. Air kencing manusia dan tahinya.

Selain dari empat di atas (seperti; arak, tahi binatang, muntah dan sebagainya lagi) di kalangan ulamak terdapat beza pandangan; ada yang menganggapnya najis dan ada yang tidak.[1] Menurut Imam asy-Syaukani; perkara-perkara yang ada dalil Syarak menyebutnya sebagai najis ialah;
1. Tahi dan air kencing manusia
2. Air liur anjing
3. Tahi binatang (khusus kepada tahi kuda, baghal dan kaldai sahaja menurut beliau)
4. Darah haid (lain dari darah haid (iaitu darah biasa) tidak najis menurut beliau).
5. Daging babi

Hanya lima di atas sahaja –menurut Imam Syaukani- yang mempunyai dalil yang jelas dari Syarak tentang kenajisannya. Selain darinya adalah khilaf di kalangan ulamak”.[2]

Adapun dalam mazhab Syafi’ie, ada 13 perkara yang diputuskan sebagai najis berdasarkan ijtihad ulamak-ulamak mazhab, iaitu;
1. Anjing; semua juzuk di badan anjing adalah najis.
2. Babi; semua juzuk di badan babi adalah najis.
3. Air kencing; semua jenis air kencing adalah najis sama ada dari manusia atau haiwan.
4. Tahi; semua jenis tahi adalah najis sama ada tahi manusia atau haiwan.
5. Air mazi; iaitu cecair nipis berwarna kekuningan yang keluar dari kemaluan ketika naik syahwat.
6. Air madi; iaitu cecair kental berwarna putih yang keluar dari kemaluan selepas kencing atau selepas keletihan.
7. Arak dan semua minuman yang memabukkan seperti tuak dan seumpamanya.
8. Bangkai/mayat; kecuali mayat manusia, bangkai haiwan laut (ikan dan sebagainya) dan belalang.
9. Darah; semua jenis darah adalah najis sama ada darah manusia atau haiwan.
10. Nanah
11. Anggota yang terpisah dari haiwan ketika masih hidupnya; kecuali bulu binatang yang halal dimakan seperti bulu biri-biri, bulu ayam dan sebagainya.
12. Susu binatang yang tidak halal dimakan dagingnya.
13. Muntah

Apakah kaifiyat bersuci dari najis yang ditetapkan oleh Syarak?

1. Bersuci dengan menggunakan air
2. Bersuci dengan air bercampur tanah
3. Bersuci dengan benda-benda kesat
4. Bersuci dengan menggosok ke tanah

Bagaimana caranya bersuci dengan air?

Menggunakan air adalah cara asal dalam bersuci. Tidak harus berpaling dari menggunakan air dalam bersuci kecuali dengan keizinan dari Syarak. Adapun cara bersuci dengan air ialah;
Pertama; Buang najis terlebih dahulu,
Kedua; Basuh tempat yang terkena najis itu dengan air hingga hilang sifat-sifatnya iaitu warnanya, baunya dan rasanya. Jika sekali basuhan telah dapat menghilangkannya, tidak perlu lagi diulangi basuhan. Jika tidak, wajib diulangi lagi basuhan termasuk dengan menggosok-gosoknya atau melakukan seumpamanya. Setelah dibasuh berulang kali, namun warna najis masih tidak tanggal atau baunya masih tidak hilang, ketika itu dimaafkan, yakni basuhan dianggap sempurna dan tidak perlu diulangi lagi.

Dikecualikan jika najis itu ialah air kencing kanak-kanak lelaki yang belum berumur dua tahun dan belum menikmati sebarang makanan kecuali susu ibunya, maka memadai dengan merenjis air hingga meratai kawasan yang terkena air kencing itu, kemudian dibiarkan kering. Tidak perlu membasuhnya atau mengalirkan air ke atasnya. Ummu Qais binti Mihsan –radhiyallahu ‘anha-. Menceritakan; “Beliau membawa seorang bayi lelaki yang belum memakan sebarang makanan kepada Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-, tiba-tiba bayi itu kencing di atas pakaian baginda. Baginda meminta air, lalu merenjis pakaiannya dan baginda tidak membasuhnya”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Apakah najis yang perlu dibasuh menggunakan air bercampur tanah? Bagaimana caranya?

Iaitu najis anjing kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Apabila bekas kamu dijilat oleh anjing, hendaklah kamu membasuhnya tujuh kali; kali pertama dengan tanah” (Riwayat Imam Muslim). Caranya ialah;

Pertama; Buang najis terlebih dahulu
Kedua; Basuh tempat yang terkena najis anjing itu dengan air yang bercampur tanah (sekali sahaja).
Ketiga; Bilas dengan air biasa sebanyak enam kali.

Oleh kerana cara membasuh najis anjing di atas lebih berat berbanding cara membasuh najis-najis yang lain, maka kerana itu najis anjing dinamakan ulamak dengan najis mughallazah (najis berat).

Adakah najis babi juga mesti di basuh dengan air bercampur tanah?

Ulamak-ulamak berbeza pandangan tentang babi; adakah ia termasuk dalam najis berat (mughalladzah) sebagaimana anjing di atas, atau ia hanya terdiri dari najis biasa (seperti arak, air kencing, tahi dan sebagainya) yang mencukupi dibasuh dengan air seperti biasa? Ada dua pandangan;

Pertama; Jumhur ulamak berpandangan; babi sama seperti najis-najis yang lain, iaitu mencukupi dibasuh seperti biasa hingga hilang kesan-kesannya. Tidak perlu diulangi basuhan hingga tujuh kali dan tidak perlu menggunakan tanah. Mengikut pandangan jumhur ulamak, najis berat hanya satu sahaja iaitu anjing. Dalil mereka ialah sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Apabila anjing menjilat bekas salah seseorang dari kamu, cara menyucinya ialah dengan ia membasuhnya sebanyak tujuh kali, kali pertamanya dengan tanah” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Di dalam hadis ini, Nabi hanya menyebut anjing sahaja, tidak menyebutkan najis yang lain termasuk babi.

Kedua; mengikut mazhab Syafi’ie; babi sama seperti anjing, oleh itu ia mesti dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satu basuhan mesti dengan air bercampur tanah. Dalil mereka ialah dengan mengkiaskannya kepada anjing kerana babi lebih buruk keadaannya dari anjing di mana pengharaman memakannya adalah sabit dengan nas al-Quran, adapun pengharaman memakan anjing hanya sabit dengan ijtihad.

Adakah harus tanah digantikan dengan sabun atau bahan pencuci lain?

Bagi masalah ini juga ada perbezaan pandangan di kalangan ulamak;

Pandangan pertama; tidak harus kerana cucian dengan tanah itu adalah arahan Syarak. Halnya sama seperti tayammum yang diarahkan oleh Syarak menggunakan tanah, maka tidak harus dialihkan kepada yang lain. Arahan menggunakan tanah itu bersifat ibadah, oleh itu tidak harus dinilai berdasarkan akal atau logik. Ini adalah pandangan yang rajih dalam mazhab Syafi’ie.

Pandangan kedua; harus tanah itu digantikan dengan sabun kerana penggunaan sabun lebih berkesan dari tanah dalam menghilangkan najis. Nabi menyebutkan tanah dalam hadis tadi bukan bertujuan membataskannya kepada tanah, tetapi untuk menegaskan perlunya penyucian najis berat itu dibantu dengan bahan lain di samping air. Masalah ini ada persamaannya dengan istinjak di mana selain dengan air, Nabi juga mengharuskan istinjak dengan batu. Menurut ulamak; walaupun nabi hanya menyebutkan batu, namun dikiaskan kepadanya bahan-bahan lain yang bersifat kesat dan berupaya menanggalkan najis seperti kertas, tisu kesat dan sebagainya. Nabi menyebut batu bukanlah bertujuan membataskannya kepada batu, tetapi untuk menjelaskan keharusan beristinjak dengan batu atau bahan-bahan lain yang mempunyai sifat yang sama. Ini adalah pandangan jumhur ulamak mazhab Hanbali.

Pandangan ketiga; Dalam keadaan terdapat tanah, wajiblah basuhan menggunakan tanah dan tidak harus berpindah kepada bahan yang lain sama ada sabun atau sebagainya. Jika tidak ada tanah, barulah harus menggunakan bahan yang lain menggantikan tanah. Ini adalah pandangan Abu Hamid (salah seorang ulamak mazhab Hanbali).

Apakah yang dimaksudkan dengan benda-benda kesat? Bilakah harus bersuci dengannya?

Benda-benda kesat adalah seperti batu, kertas atau tisu yang kesat, kayu dan sebagainya. Benda-benda kesat ini harus digunakan untuk beristinjak iaitu membersihkan najis di kemaluan setelah kencing atau berak. Telah sabit di dalam hadis bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam- menggunakan batu untuk beristinjak. Maka dikiaskan kepadanya segala benda yang kesat yang dapat menanggalkan najis dari dua saluran tersebut.

Apa syarat beristinjak dengan benda kesat?

Paling baik ialah berinstinjak dengan air kerana ia lebih menyucikan. Diharuskan beristinjak dengan benda-benda kesat sahaja sekalipun terdapat air, tetapi hendaklah dengan memenuhi syarat-syarat di bawah;

1. Hendaklah dengan sekurang-kurangnya tiga kali sapuan. Tidak harus kurang dari tiga kali sapuan sekalipun telah kelihatan bersih dengan sekali atau dua kali sapuan. Ini kerana tiga kali sapuan itu adalah had minima yang ditetapkan Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Salman –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Nabi menegah kami dari beristinjak kurang dari tiga batu (yakni tiga sapuan batu)” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Nasai). Jika tiga kali sapuan tidak mencukupi, wajib ditambah dan sunat tambahan itu ganjil (yakni lima, tujuh dan sebagainya).

2. Hendaklah najis tidak melepasi papan punggung atau hasyafah (yakni kepala zakar). Jika najis meleleh melepasi kawasan tersebut, wajib istinjak dengan air.

3. Hendaklah sebelum najis kering. Jika najis telah kering, wajib istinjak dengan air.

4. Bahan yang digunakan hendaklah bersih dan kering. Sifatnya hendaklah boleh menanggalkan najis, iaitu tidak terlalu licin atau terlalu kasar kerana tujuan intinjak ialah untuk menanggalkan najis, maka hendaklah bahan yang digunakan boleh memenuhi tujuan tersebut.

5. Bahan yang digunakan bukan dari makanan manusia atau jin seperti tulang. Sabda Nabi; “Janganlah kamu beristinjak dengan tahi binatang, dan juga dengan tulang kerana ia adalah makanan saudara kamu dari kalangan jin”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Bagaimana yang dikatakan bersuci dengan menggosok ke tanah?

Iaitu cara bersuci yang disebut oleh Nabi di dalam hadisnya; “Jika seseorang kamu datang ke masjid, hendaklah ia menterbalikkan dua sepatunya dan memerhatikannya; jika ia nampak ada najis, hendaklah ia menggosoknya ke tanah, kemudian tunaikan solat dengan memakai sepatunya itu”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Abu Said al-Khudri r.a.).

Berdalilkan hadis ini, sebahagian ulamak –antaranya Imam Abu Hanifah- menegaskan; “Kasut atau sepatu yang terkena najis –sama ada kering atau basah- memadai menyucinya dengan menggosoknya ke tanah hingga hilang kesan najis pada kasut tersebut”.

Bagaimana cara menyucikan tanah yang dikenai najis?

Tanah yang terkena najis, cara menyucinya ialah;
Pertama; hendaklah dibuang terlebih dahulu najis jika kelihatan.
Kedua; setelah dibuang najis, curahkan sebaldi air ke atas tanah yang terkena najis itu dan biarkan ia kering. Abu Hurairah r.a. telah menceritakan; “Seorang lelaki dari pedalaman datang ke masjid Nabi s.a.w.. Tiba-tiba ia bangun dan kencing di satu penjuru masjid. Lalu Nabi s.a.w. berkata; “’Curahkan sebaldi air ke atas tempat yang terkena air kencingnya”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Jika seseorang itu selepas mengerjakan solat, ia ternampak najis di pakaiannya; adakah wajib ia mengulangi solatnya?

Para ulamak berbeza pandangan dalam masalah ini;

1. Ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie- menegaskan; batal solatnya dan wajib diulangi kerana ia menunaikan solat dalam keadaan tidak memenuhi syarat sahnya iaitu bersuci. Adapun sangkaannya semasa sedang solat –bahawa ia bersih dari najis-, maka sangkaan itu tidak dikira kerana telah terbukti salah. Kaedah Fiqh menyebutkan; “Tidak diambil kira sangkaan yag telah ternyata salahnya”.

2. Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; tidak batal solatnya jika najis itu sedikit. Jika najis itu banyak, batallah solat dan wajib diulangi semula.

3. Ada ulamak berpandangan; tidak batal solatnya secara keseluruhannya sama ada najis itu sedikit atau banyak. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Sa’id al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Suatu hari kami mengerjakan solat bersama Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Ditengah solat, Nabi menanggalkan dua kasutnya dan meletaknya di sebelah kirinya. Melihat berbuatan Nabi itu, kami pun turut melakukannya. Selesai solat, Nabi bertanya; “Kenapa kamu semua menanggalkan kasut?”. Kami menjawab; “Kami melihat kamu melakukannya, maka kami pun turut melakukannya”. Nabi berkata; “Di tengah solat tadi, Jibril datang kepadaku dan memberitahu bahawa di kasutku terdapat najis/kekotoran, maka kerana itulah aku menanggalkannya. Jika seseorang kamu datang ke masjid, hendaklah ia menterbalikkan dua kasutnya dan memerhatikannya; jika ia nampak ada najis, hendaklah ia menggosoknya ke tanah, kemudian bolehlah ia menunaikan solat dengan memakai kasutnya itu” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud). Berkata Imam al-Khattabi; hadis ini menjadi dalil bahawa sesiapa menunaikan solat sedang di pakaiannya terdapat najis yang tidak diketahuinya, maka solatnya adalah sah dan tidak perlu ia mengulanginya”. [3] Selain Imam al-Khattabi, ulamak yang berpandangan serupa ialah Imam Ibnu Taimiyyah. Di dalam al-Fatawa al-Kubra, Imam Ibnu Taimiyyah menegaskan; “Sesiapa menunaikan solat dengan ada najis (di pakainnya) kerana lupa atau tidak tahu, tidak perlu ia ulangi solatnya”.[4]

Nota Kaki

[1] Bidayatul-Mujtahid (1/101).
[2] Ad-Darari al-Madhiyyah, halaman 18.
[3] Bidayatul-Mujtahid (1/100).
[4] Al-Fatawa al-Kubra (5/327).

BERSUCI (CARA BERSUCI ORANG LUKA DAN BERBALUT)

1. Jika seseorang itu luka, bagaimana caranya untuk ia bersuci?

Orang yang sakit atau luka, jika ia dapat membasuh atau memandikan dengan air sebahagian anggotanya, maka bahagian itu wajib dibasuh dengan air ketika ia mengambil wudhuk atau mandi. Adapun kawasan yang tidak dapat dibasuh dengan air –kerana takut membawa kerosakan atau mudarat- hendaklah diganti dengan tayammum (yakni dengan menyapu debu ke muka dan tangan). Ini adalah pandangan Imam Ahmad dan Imam Syafi’ie.

Menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Malik; toharah adalah dengan salah satu sahaja iaitu dengan air (yakni wudhuk atau mandi) atau dengan tanah (yakni tayammum). Tidak wajib menggabungkan keduanya. Oleh demikian, menurut pandangan kedua ini; jika kebanyakan badan adalah elok dan dapat dibasuh dengan air, memadai dengan membasuh kawasan yang elok/sihat itu dan tidak perlu kepada tayammum. Dan kalau kebanyakan badan adalah sakit/luka, cukup dengan tayammum sahaja, tidak perlu lagi wudhuk atau mandi.

2. Orang yang mengalami luka pada badannya atau patah tulang anggotanya dan terpaksa dibalut, diplaster atau disimen di mana ia tidak dapat ditanggalkan (termasuk semasa ingin mengambil wudhuk), bagaimana caranya ia hendak mengambil wudhuk atau mandi? 

Bagi kes tersebut, diberi kelonggaran untuk menyapu air di atas kain balutan atau plaster atau simen yang dipakainya. Orang yang menghadapi masalah sedemikian, ia hendaklah melakukan tindakan berikut semasa mengambil wudhuk;

Pertama; Hendaklah ia membasuh dan meratakan air sebagaimana biasa ke kawasan-kawasan yang sihat (tidak sakit) dari anggota wudhuknya.

Kedua; Bagi kawasan yang berbalut pula, wajib ia menyapu air ke atasnya. Menurut Imam Abu Hanifah; memadai dengan menyapu sebahagian besar balutan. Namun jumhur ulamak (iaitu Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berkata; “Wajib disapu air meliputi seluruh balutan”.

Jika ia mandi wajib, hendaklah ia mandi sebagaimana biasa iaitu dengan meratakan air ke seluruh badannya yang sihat (yakni yang tidak berbalut). Adapun kawasan yang sakit (yakni yang berbalut) hendaklah disapukan air ke atas balutan secara menyeluruh atau sebahagian besar darinya mengikut pandangan ulamak tadi. Apabila ia sembuh nanti, tidak diwajibkan ia mengulangi semula mandi wajibnya. Ia hanya diwajibkan membasuh/memandikan anggota-anggota yang berbalut sahaja.

Adakah wajib disertai dengan tayammum?

Mengenai soalan ini, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut mazhab Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad; tidak wajib lagi bertayammum. Memadai membasuh kawasan yang sihat dan menyapu air di atas balutan bagi kawasan yang sakit. Tidak perlu bertayammum.

2. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; wajib disertai dengan tayammum. Berdasarkan mazhab Syafi’ie, orang yang memakai balutan ia hendaklah melakukan tiga perkara semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib;
a) Membasuh kawasan yang sihat (tidak sakit atau cedera)
b) Menyapu air ke atas balutan dengan meratakannya
c) Bertayammum; bagi mandi wajib, cukup dengan sekali tayammum sahaja sama ada sebelum mandi atau selepasnya. Adapun bagi wudhuk, ada dua pandangan; (Pandangan pertama); wajib bertayammum mengikut bilangan anggota wudhuk yang berbalut untuk menjaga tertib yang disyaratkan dalam wudhuk. (Pandangan kedua); cukup sekali tayammum sahaja iaitu sebelum wudhuk atau selepasnya. Pandangan yang rajih dalam mazhab ialah yang pertama.

3. Mengikut mazhab Imam Ahmad; wajib tayammum hanya jika balutan melebihi kawasan yang perlu, yakni kawasan yang sakit atau cedera. Jika balutan hanya membalut kawasan sakit tanpa menyentuh kawasan yang sihat, tidak perlu bertayammum, cukup dengan menyapu air ke atas balutan sahaja.

Adakah wajib memakainya setelah bersuci?

Ada dua pandangan ulamak;

Pandangan pertama; wajib balutan atau palster atau simen itu dipakai setelah bersuci iaitu setelah mengambil wudhuk atau setelah mandi wajib. Jika tidak, maka solat yang ditunaikan sepanjang memakai balutan atau simen atau plaster itu wajib diulangi semula apabila sembuh nanti. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad.

Pandangan kedua; tidak wajib bersuci terlebih dahulu sebelum memakainya. Dalam pengertian yang lain; tidak disyaratkan pemakaian balutan atau simen atau plaster itu dibuat setelah mengambil wudhuk atau mandi wajib terlebih dahulu. Sekalipun seseorang memakai balutan atau simen dalam keadaan tidak berwudhuk, harus baginya menyapu atas balutan atau simen itu semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib dan tidak perlu ia mengulangi solatnya apabila sembuh. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

Berapa lamakah tempoh diizinkan menyapu balutan?

Keizinan dari Syarak untuk menyapu balutan tidak ada tempoh masa tertentu. Ia bergantung kepada tempoh kesembuhan luka atau patah. Selagi luka atau patah belum sembuh dan balutan masih perlu dipakai, maka selagi itu keharusan menyapu di atas balutan berterusan. Apabila sakit telah sembuh dan balutan dapat dibuka, hilanglah keharusan tersebut dan wajib mengambil wudhuk atau mandi wajib sebagaimana asalnya.

BERSUCI ( HADAS )


BERSUCI (HADAS)

Apa maksud hadas?

Hadas ialah kekokotoran maknawi pada diri yang menegah sahnya ibadah yang disyaratkan bersuci iaitu solat, tawaf dan sebagainya. Orang berhadas tidak bersih di sisi Allah sekalipun di sisi manusia kelihatan bersih. Kerana itu, orang yang berhadas wajib menyucikan dirinya mengikut cara yang ditetapkan Syarak sebelum mengadap Allah melalui ibadah-ibadah tadi.

Berapa jenis hadas? Apa cara menyucikannya?

Hadas ada dua jenis, iaitu;
1. Hadas kecil
2. Hadas besar

Cara menyucikan hadas kecil ialah dengan mengambil wudhuk. Adapun cara menyucikan hadas besar ialah dengan mandi. Jika kedua-duanya tidak dapat dilakukan kerana sakit, ketiadaan air atau sebagainya, hendaklah diganti dengan tayammum. Kesimpulannya, cara menyucikan hadas yang ditetapkan oleh Syarak ada tiga, iaitu;
1. Wudhuk; untuk menyucikan hadas kecil
2. Mandi; untuk menyucikan hadas besar
3. Tayammum; gantian kepada wudhuk atau mandi.

Apakah dalil kewajipan bersuci dari hadas

Kewajipan bersuci dari hadas secara umumnya (merangkumi mengambil wudhuk, mandi wajib dan tayammum) disebut oleh Allah di dalam surah al-Maidah, ayat 6 (yang bermaksud); “Wahai orang-orang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah (dengan mandi wajib); dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan (debu) tanah yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan (debu) tanah itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi ia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu supaya kamu bersyukur” (al-Maidah; 6).

Perhatikan; di awal ayat Allah menyebut tentang wudhuk, di tengahnya menyebut tentang mandi wajib dan di hujung pula menyebut tentang tayammum.

SEBAB-SEBAB HADAS KECIL

Apa sebab terjadinya hadas kecil?
(Perkara-perkara yang membatalkan wudhuk)


Hadas kecil terjadi apabila seseorang itu terbatal wudhuknya. Sebab-sebab yang membatalkan wudhuk ialah;

1. Keluar sesuatu dari kemaluan
Keluar sesuatu dari kemaluan sama ada kemaluan hadapan atau belakang, yakni zakar/faraj atau dubur sama ada yang keluar itu air kencing, tahi, kentut, air mazi atau air wadi akan membatalkan wudhuk. Ia telah disepakati oleh sekelian ulamak berdalilkan ayat Allah (yang bermaksud); “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuhan dengan perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih…”. (al-Maidah; 6)

Ungkapan “…atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air…” di dalam ayat di atas bermaksud selepas kencing atau berak, yakni apabila seseorang dari kamu selesai dari kencing atau berak, hendaklah ia mengambil wudhuk. Jika tidak ditemui air, hendaklah ia bertayammum. Di dalam hadis, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Tidak diterima solat seseorang dari kamu jika ia berhadas hinggalah ia mengambil wudhuk (terlebih dahulu)”. Seorang lelaki penduduk Hadramaut bertanya Abu Hurairah (yang menyampaikan hadis ini); “Wahai Abu Hurairah, apa itu hadas?”. Jawab beliau; “Kentut (sama ada yang tidak berbunyi atau yang berbunyi)” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah). Dalam hadis yang lain, Nabi bersabda; “Tidak wajib wudhuk kecuali bila terdengar bunyi (yakni bunyi kentut) atau keluar angin (kentut tanpa bunyi)” (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah. Menurut Imam an-Nawawi, hadis ini soheh).

Bagaimana jika yang keluar dari kemaluan itu adalah batu, darah, ulat dan sebagainya dari perkara yang jarang berlaku? 

Menurut jumhur ulamak –termasuk mazhab Syafi’ie, Abu Hanifah dan Ahmad-; semua yang keluar melalui zakar dan dubur akan membatalkan wudhuk sama ada dari benda-benda yang biasa (yakni tahi, kencing dan sebagainya tadi) atau yang luar biasa (batu, darah, ulat dan sebagainya). Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. memerintahkan wanita yang mengalami istihadhah (yakni keluar darah dari kemaluannya di luar masa haid) agar mengambil wudhuk setiap kali hendak menunaikan solat fardhu (Riwayat Imam Abu Daud dan ad-Daruqutni dari Fatimah bin Abi Hubais r.a. dengan sanad yang siqah). Hadis ini menunjukkan bahawa keluar darah dari kemaluan membatalkan wudhuk sekalipun ia bukan selalu berlaku. Dikias kepadanya benda-benda lain yang jarang keluar melalui kemaluan. Mazhab Imam Malik berpendapat; “Perkara-perkara yang jarang keluar melalui kemaluan itu tidak membatalkan wudhuk”.

Jika seseorang tidak dapat mengeluarkan najis melalui saluran asal (yakni zakar atau duburnya), lalu dibuat saluran di bahagian ususnya, adakah najis yang keluar melalui saluran baru itu akan membatalkan wudhuk? 

Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan juga Imam Malik; “Ia membatalkan wudhuk jika sekiranya lubang atau saluran itu berada di bawah perut dan saluran najis yang asal (iaitu zakar atau dubur) telah tertutup, yakni saluran baru itu telah mengambil tempat saluran asal sebagai tempat keluar najis”.

2. Tidur

Tidur membatalkan wudhuk berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Mata adalah pengikat punggung (dubur). Maka sesiapa tidur, hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Ali r.a.).

Menurut mazhab Syafi’ie dan juga Abu Hanifah, tidur yang membatalkan wudhuk ialah tidur nyenyak yang tidak tetap kedudukannya. Adapun tidur yang tetap kedudukannya, maka ia tidak membatalkan wudhuk. Yang dikatakan tidur yang tetap kedudukan ialah tidur sambil duduk dalam keadaan punggung rapat ke tanah (tidak beralih ke kanan atau ke kiri). Mereka berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang bercerita; “Sahabat-sahabat Nabi s.a.w. tatkala sedang menunggu untuk menunaikan solat Isyak mereka tertidur sambil duduk. Kemudian (apabila masuk waktu Isyak) mereka menunaikan solat tanpa mereka mengambil wudhuk (terlebih dahulu)” (Riwayat Imam Syafi’ie, Abu Daud, Muslim dan at-Tirmizi). Bagi ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan juga Abu Hanifah, bukan semata-mata tidur itu yang membatalkan wudhuk, akan tetapi kebimbangan akan keluarnya sesuatu dari dua jalan (qubul atau dubur) ketika tidur itu. Tidur yang tetap kedudukan tidak ada kebimbangan akan keluarnya sesuatu dari qubul atau dubur kerana papan punggung rapat ke tanah. Oleh itu, ia tidak membatalkan wudhuk. Adapun tidur yang tidak tetap kedudukannya, kebimbangan itu ada. Oleh itu, ia membatalkan wudhuk.

Ulamak-ulamak mazhab Malik dan Hanbali pula berpendapat; tidur yang nyenyak (yang tidak sedarkan diri) keseluruhannya membatalkan wudhuk sama ada tetap kedudukannya atau tidak. Ini kerana bagi mereka, tidur itu sendiri menjadi faktor yang membatalkan wudhuk. Asalkan wujudnya tidur dan tidur itu nenyak, maka batallah wudhuk sama ada sambil duduk, berbaring atau melentang.

3. Hilang akal

Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, pitam, termakan ubat yang memabukkan atau sebagainya. Hal ini telah disepakati oleh sekelian ulamak kerana berdalilkan kepada hadis tentang tidur di atas di mana kebimbangan akan keluarnya sesuatu dari dua jalan (zakar atau dubur) ketika seseorang itu gila, pitam atau mabuk lebih kuat dari ketika ia tidur. Maka jika tidur boleh menyebabkan batal wudhuk, maka lebih-lebih lagilah hilang akal.

4. Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan

Berlaku sentuhan kulit antara lelaki dan wanita yang bukan mahram membatalkan wudhuk berdalilkan firman Allah di dalam surah al-Maidah, ayat 6 (yang bermaksud); “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuhan dengan perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih…”.

Menurut mazhab Syafi’ie, semata-mata berlakunya sentuhan dan tanpa berlapik, akan batallah wudhuk sama ada sentuhan dengan syahwat atau tidak. Mengikut mazhab Imam Abu Hanifah, bersentuhan tidak membatalkan wudhuk kecuali yang membabitkan alat kemaluan (yakni zakar dan faraj) iaitulah bersetubuh. Adapun semata-mata bersentuhan tidaklah membatalkan wudhuk. Mengikut mazhab Imam Ahmad dan Malik pula; bersentuhan antara lelaki dan perempuan hanya membatalkan wudhuk jika dengan merasai kelazatan atau dengan maksud merasai kelazatan. Adapun bersentuhan semata-mata tidaklah membatalkan wudhuk.

Perbezaan pandangan ulamak di atas berlaku berpunca dari perbezaan mereka dalam mentafsirkan ungkapan “أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء” (atau kamu bersentuhan dengan perempuan) dalam ayat di atas. Menurut Imam Syafi’ie, ia bermaksud bersentuhan secara mutlaknya. Imam Abu Hanifah pula mentafsir ayat ini dengan pandangan Ibnu Abbas yang berkata; maksud ayat di atas ialah jimak (persetubuhan). Imam Malik dan Ahmad pula mentafsir ayat di atas dengan sentuhan yang disertai syahwat. Pandangan mereka disokong oleh hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. mencium isteri-isterinya, kemudian baginda menunaikan solat tanpa mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Abu Daud, an-Nasai, Ahmad dan at-Tirmizi. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh. Lihat; Misykat al-Masabih, hadis no. 323). Hadis ini menunjukkan bahawa sentuhan biasa tidaklah membatalkan wudhuk. Jika tidak, sudah tentu Nabi akan mengambil wudhuk sebelum menunaikan solat selepas mencium isteri-isterinya tadi.

Adakah orang yang disentuh turut terbatal?
Menurut mazhab Syafi’ie dan Malik; “Kedua-dua yang menyentuh dan yang disentuh batal wudhuknya”. Menurut Imam Ahmad (dalam satu riwayat darinya); “Orang yang disentuh tidak batal wudhuknya”.

5. Menyentuh zakar atau faraj

Menyentuh zakar atau faraj dengan tangan tanpa berlapik akan membatalkan wudhuk. Ini adalah mazhab Syafi’ie dan Ahmad. Mereka berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa menyentuh zakarnya, janganlah ia menunaikan solat hinggalah ia mengambil wudhuk”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Busrah binti Safwan r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh). Yang dimaksudkan dengan zakar ialah batangnya sahaja, tidak termasuk dua kantung telurnya. Sepakat para ulamak menyatakan; tidak batal wudhuk dengan menyentuh dua kantung telur itu sekalipun tanpa berlapik.

Sentuhan yang membatalkan wudhuk ialah sentuhan dengan tangan. Sentuhan dengan anggota yang lain dari tangan tidak membatalkan wudhuk dan ini telah disepakati oleh sekelian ulamak. Menurut mazhab mazhab Syafi’ie, sentuhan tangan yang membatalkan wudhuk itu ialah dengan bahagian tapak tangan atau perut-perut anak jari dan tanpa berlapik. Adapun sentuhan dengan belakang tangan, tidaklah membatalkan wudhuk. Menurut mazhab Imam Ahmad, sentuhan tangan (tanpa berlapik) secara keseluruhannya membatalkan wudhuk sama ada dengan bahagian tapaknya atau belakangnya.

Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; menyentuh zakar atau faraj tidak membatalkan wudhuk secara keseluruhannya. Mereka berdalilkan hadis dari Talq (طلق) bin ‘Ali r.a. yang telah bertanya Nabi s.a.w.; “Seorang lelaki telah menyentuh zakarnya. Adakah wajib atasnya mengambil wudhuk?”. Maka baginda menjawab; “Ia adalah sebahagian dari kamu” (Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Menurut Ibnu Hibban; hadis ini adalah soheh dan disokong oleh al-Albani. Lihat; al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah Lil-Albani, hlm. 47). (Sebahagian ulamak –antaranya Ibnu Hibban, Ibnu ‘Arabi dan al-Hazimi- berpandangan; hukum dalam hadis ini telah dimansukhkan. Lihat; al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Wahbah Zuhaili).

Menurut pandangan Imam Malik pula; sentuhan yang membatalkan wudhuk ialah sentuhan dengan syahwat. Adapun sentuhan tanpa syahwat, tidaklah membatalkan wudhuk. Mereka memadankan antara dua hadis di atas; hadis pertama merujuk kepada sentuhan dengan syahwat dan hadis kedua pula merujuk kepada sentuhan tanpa syahwat. Pandangan ini disokong oleh Imam Ibnu Taimiyyah. (Lihat; al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah Lil-Albani, hlm. 48).

Adakah menyentuh zakar atau faraj orang lain juga membatalkan wudhuk? 

Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; “Batal wudhuk sekalipun yang disentuh itu zakar/faraj anak kecil atau zakar/faraj orang yang telah mati”. Menurut Imam Malik; “Yang membatalkan wudhuk ialah menyentuh zakar/faraj orang dewasa. Adapun menyentuh zakar/faraj kanak-kanak, tidaklah membatalkan wudhuk”.

Orang yang disentuh zakar/farajnya, adakah wudhuknya turut terbatal? 

Menurut Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; “Tidak batal wudhuknya”. Menurut Imam Malik; “Wudhuknya turut terbatal”.

Bagaimana pula dengan menyentuh dubur, adakah juga akan membatalkan wudhuk? 

Menurut mazhab Syafi’ie dan Ahmad; “Menyentuh dubur (iaitu bahagian lingkaran lubangnya) membatalkan wudhuk”. Mereka mengkiaskan dubur kepada zakar/faraj kerana ia juga termasuk dalam erti kemaluan manusia”. Dalam hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa menyentuh farajnya, hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Ummu Habibah r.a.). Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya at-Tahzib, mengikut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; “Perkataan al-Faraj digunakan untuk makna kemaluan hadapan (yakni zakar/faraj) dan juga dubur, sama ada bagi lelaki atau perempuan”. Pada pandangan Imam Malik, menyentuh dubur tidaklah membatalkan wudhuk.

6. Keluar najis dari badan

Keluar darah (sama ada darah bekam, darah hidung atau sebagainya), nanah atau air bisa (iaitu benda-benda yang dianggap najis) dari badan membatalkan wudhuk mengikut pandangan mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad sekalipun tidak melaui zakar/faraj atau dubur, dengan syarat yang keluar itu adalah banyak (mengikut Imam Ahmad) atau mengalir (mengikut Imam Abu Hanifah). Dalil mereka ialah sabda Nabi s.a.w.; “Berwudhuk (adalah wajib) bagi setiap darah yang mengalir” (Riwayat Imam Daruqutni dari Tamim ad-Dari r.a.. Menurut Imam Ibnu Hajar; hadis ini dhaif. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9680). Dalam hadis yang lain baginda bersabda; “Sesiapa muntah atau berdarah hidungnya atau meloya (hingga muntah penuh mulut) atau keluar mazi (ketika ia sedang mengerjakan solat), hendaklah ia keluar dari solatnya dan mengambil wudhuk, kemudian hendaklah ia menyambung (yakni meneruskan) solatnya dan janganlah ia bercakap-cakap” (Riwayat Ibnu Majah dari Aisyah r.a.. Menurut Imam Ahmad, hadis ini dhaif. Lihat; Bulughul-Maram, bab Nawaqid al-Wudhu’).

Namun mengikut pandangan mazhab Imam Syafi’ie dan Malik perkara tersebut tidaklah membatalkan wudhuk. Mereka berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah berbekam, kemudian baginda menunaikan solat tanpa mengambil wudhuk. Baginda hanya membasuh tempat bekamnya sahaja” (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni. Menurut Imam Syaukani, hadis ini dhaif (Kitab at-Toharah, bab al-Aghsal al-Mustahabbah). Hadis ini menunjukkan bahawa keluar darah dari badan tidaklah membatalkan wudhuk.

7. Muntah

Muntah membatalkan wudhuk pada pandangan mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad jika muntah itu banyak atau hingga memenuhi mulut. Dalil mereka ialah sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa muntah atau berdarah hidungnya atau meloya (hingga keluar muntah penuh mulut) atau keluar mazi (ketika ia sedang mengerjakan solat), hendaklah ia keluar dari solatnya dan mengambil wudhuk, kemudian hendaklah ia menyambung (yakni meneruskan) solatnya dan janganlah ia bercakap-cakap” (Riwayat Ibnu Majah dari Aisyah r.a.. Menurut Imam Ahmad, hadis ini dhaif. Lihat; Bulughul-Maram, bab Nawaqid al-Wudhu’).

Namun menurut pandangan mazhab Imam Syafi’ie dan Malik, ia tidaklah membatalkan wudhuk. Mereka berdalilkan hadis riwayat Imam Daruqutni yang menceritakan; “Nabi s.a.w. telah muntah, namun baginda tidak mengambil wudhuk”. Dalam hadis lain dari Sauban r.a. menceritakan; “Aku bertanya Nabi s.a.w.; ‘Adakah wajib mengambil wudhuk kerana muntah?’. Jawab baginda; “Jika wajib tentu aku akan menemuinya di dalam kitab Allah” (Lihat hadis ini dalam; Nailul-Autar, Kitab at-Toharah, Abwab Nawaqidh al-Wudhu’).

8. Ketawa berdekah di dalam solat 

Sepakat para ulamak menyatakan bahawa ketawa denagn berdekah (yakni hingga didengari orang orang berdekatan) ketika sedang solat akan membatalkan solat. Adakah ia juga turut membatalkan wudhuk? Menurut Imam Abu Hanifah; ketawa berdekah di dalam solat akan membatalkan wudhuk. Mereka berdalilkan hadis Nabi s.a.w.; “Sesiapa yang ketawa hingga berdekah, hendaklah ia ulangi solat dan juga wudhuknya” (Riwayat Imam at-Tabrani dari Abu Musa al-Asy’ari. Menurut ulamak hadis; jalan-jalan periwayatan hadis ini sebahagiannya dhaif dan sebahagiannya mursal).

Menurut jumhur ulamak –termasuklah mazhab Syafi’ie, Maliki dan Imam Ahmad-, ketawa berdekah itu tidaklah membatalkan wudhuk kerana perkara yang jika berlakunya di luar solat tidak membatalkan wudhuk, tentunya jika berlaku di dalam solat juga tidak akan membatalkan wudhuk. Adapun hadis di atas, ia tidak dapat dijadikan hujjah kerana mursal.

9. Memakan daging unta 

Ia membatalkan wudhuk mengikut mazhab Imam Ahmad dengan berdalilkan hadis dari Jabir bin Abdullah r.a. yang menceritakan; “Seorang lelaki telah bertanya Nabi s.a.w.; ‘Adakah saya perlu mengambil wudhuk selepas memakan dahing kambing?’. Jawab Nabi; ‘Jika kamu mahu ambillah wudhuk dan jika tidak mahu tidak payahlah mengambil wudhuk’. Ia bertanya lagi; ‘Adakah perlu saya mengambil wudhuk selepas memakan daging unta’. Jawab Nabi; ‘Ya’. Ia bertanya lagi; ‘Adakah harus saya menunaikan solat di kandang kambing?’. Jawab Nabi; ‘Ya’. Ia bertanya lagi; ‘Haruskan aku menunaikan solat di tempat berbaring unta (di sekitar air/telaga)’. Jawab Nabi; ‘Tidak harus’” (Riwayat Imam Muslim).

Adapun di sisi mazhab-mazhab yang lain (Imam Malik, Syafi’ie dan Abu Hanifah), ia tidaklah membatalkan wudhuk. Berkenaan hadis tadi, mereka menjawab; maksud wudhuk di dalam hadis tadi ialah membasuh tangan dan mulut untuk tujuan kebersihan. Ini sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; “Nabi meminum susu. Kemudian baginda meminta air, lalu berkumur dan berkata; ‘Sesungguhnya ia berlemak’”. (Riwayat Imam Muslim).

10. Timbul syak atau keraguan 

Menurut mazhab Imam Malik; jika seseorang itu syak atau ragu sama ada ia masih berwudhuk atau tidak, semata-mata timbulnya syak itu, maka batallah wudhuknya. Namun jumhur mazhab berpendapat; semata-mata syak atau ragu tidaklah membatalkan wudhuk sehinggalah diyakini benar-benar bahawa telah berlakunya perkara-perkara yang membatalkan wudhuk tadi, barulah wudhuk dikira batal. Pendapat jumhur ini bertepatan dengan hadis Nabi di mana ‘Ubbad bin Tamim meriwayatkan dari bapa saudaranya yang bertanya Nabi s.a.w. tentang seorang lelaki yang ragu-ragu semasa sedang solat; adakah keluar darinya punggungnya sesuatu atau tidak?. Nabi menjawab; “Janganlah ia keluar dari solatnya sehinggalah ia terdengar bunyi (kentut) atau mendapati keluar angin”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

11. Memandikan mayat. 

Orang yang terlibat secara langsung memandikan mayat, batal wudhuknya menurut mazhab Imam Ahmad. Adapun mazhab-mazhab yang lain, ia tidak membatalkan wudhuk.

SEBAB-SEBAB HADAS BESAR

Apakah sebab terjadinya hadas besar?

Hadas besar terjadi kerana dua sebab;

1. Kerana berjunub

Seorang itu dikatakan berjunub dengan dua sebab;

(a) Kerana bersetubuh dengan pasangan (suami atau isteri) sama ada keluar mani atau tidak ketika persetubuhan itu. Semata-mata berlakunya persetubuhan iaitu masuknya zakar ke dalam faraj, maka dianggaplah seseorang itu berjunub sekalipun tidak keluar mani. Sabda Nabi s.a.w.; “Apabila seseorang telah duduk di antara empat cabang perempuan (yakni dua tangan dan dua kaki/pahanya), kemudian khitan (kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan), maka wajiblah mandi”. Dalam satu riwayat disebutkan; “…sekalipun tidak keluar mani”. (Riwayat Imam Muslim dari Saidatina ‘Aisyah r.a.).

(b) Keluar mani dari kemaluan sama ada dengan sengaja (seperti mengeluarkan dengan tangan atau berkhayal) atau tidak sengaja (seperti bermimpi). Orang yang keluar mani dari kemaluannya ia dianggap berjunub dan wajib mandi berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Air (yakni mandi) adalah dari kerana air (yakni dari kerana keluar mani)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.). Ummu Salamah r.a. telah menceritakan; “Pernah Ummu Sulaim datang dan bertanya kepada Nabi s.a.w.; ‘Adakah seorang perempuan wajib mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air (yakni air mani)’’ (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

2. Kerana kedatangan haid dan nifas

Wanita yang kedatangan haid dan nifas adalah berhadas besar dan wajib mandi apabila kering darahnya sebelum ia diharuskan menunaikan solat dan bersetubuh dengan suaminya. Ini berdalilkan ayat al-Quran (surah al-Baqarah, ayat 222) dan hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah bin Hubaiysh r.a. menghadapi masalah istihadhah. Lalu Rasululah s.a.w. berkata kepadanya; ‘Bila datang haid, tinggallah solat dan apabila ia berlalu (yakni tempoh haid kamu tamat), maka mandilah dan tunaikanlah solat” (Riwayat Imam al-Bukhari). Walaupun ayat dan hadis hanya menyebut tentang haid, namun dikiaskan kepadanya nifas kerana bifas adalah haid yang berkumpul. Telah ijmak para ulamak bahawa wanita yang nifas adalah umpama wanita yang haid dalam segenap hukum-hakamnya.

TEGAHAN-TEGAHAN SYARAK KE ATAS ORANG BERHADAS

Apakah tegahan-tegahan Syarak ke atas orang berhadas kecil (atau orang yang tidak berwudhuk)?

1. Mengerjakan solat

Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa orang yang tidak berwudhuk, haram mengerjakan solat sama ada solat fardhu, solat jenazah atau solat sunat. Dalilnya ialah sabda Nabi s.a.w.; “Allah tidak menerima solat seseorang dari kamu jika ia berhadas sehinggalah ia mengambil wudhu’” (Riwayat Imam Bukhari, at-Tirmizi dan Ahmad dari Abu Hurairah r.a.).

Termasuk dalam pengertian solat ialah sujud tilawah, sujud syukur dan khutbah Jumaat mengikut pandangan jumhur atau majoriti ulamak. Jadi wajib berwudhuk untuk melakukannya mengikut jumhur ulamak. Namun sebahagian ulamak –antaranya Imam Ibnu Hazm- tidak mewajibkan wudhuk untuk melakukan sujud. Menurut Ibnu Hazm; sujud Tilawah tidaklah dapat dianggap sebagai solat kerana yang dikatakan solat itu ialah yang mempunyai rakaat (iaitu satu atau dua rakaat), padahal membaca al-Quran tidaklah mempunyai rakaat. Oleh kerana ia bukan solat, maka harus dilakukan tanpa wudhuk. Malah harus dilakukan oleh orang berjunub dan wanita yang sedang haid dan nifas dan begitu juga, harus mengadap ke arah lain dari qiblat. Hukumnya sama seperti hukum berzikir, tidak ada beza antara keduanya. (al-Muhalla, 1/80).

2. Mengerjakan tawaf

Tidak harus tawaf melainkan dalam keadaan berwudhuk kerana sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya tawaf mengelilingi Baitullah (Kaabah) adalah solat. Maka apabila kamu mengerjakan tawaf, hendaklah mengurangkan bercakap” (Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai). Dalam hadis ini, Rasulullah menyamakan tawaf dengan solat. Oleh demikian, diwajibkan berwudhuk untuk mengerjakan tawaf sebagaimana diwajibkan untuk solat.

3. Menyentuh mushaf al-Quran dan membawanya

Menurut jumhur ulamak, wajib berwudhuk untuk menyentuh mushaf al-Quran atau membawanya kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Jangan menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci” (Riwayat Imam at-Thabrani dari Ibnu ‘Umar r.a.. Menurut Imam al-Haithami; perawi-perawi hadis ini adalah tsiqah. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9986). Sebahagian ulamak tidak mewajibkannya, yakni bagi mereka harus menyentuh mushaf al-Quran tanpa berwudhuk. Antara mereka ialah Ibnu ‘Abbas, ulamak-ulamak mazhab Zaidiyah dan Zahiriyah (termasuk Ibnu Hazm). Menurut mereka, maksud suci dalam hadis di atas ialah suci dari kufur. Jadi, maksud hadis tersebut menurut mereka; “Jangan menyentuh al-Quran melainkan orang beriman”.

Adapun untuk membaca atau melihat sahaja tanpa menyentuhnya, tidaklah diwajibkan berwudhuk. Hukum ini disepakati oleh sekelian ulamak. Begitu juga, para ulamak mengharuskan kanak-kanak menyentuh al-Quran tanpa wudhuk untuk tujuan belajar kerana ia belum mukallaf. Namun yang afdhal ialah menyuruhnya mengambil wudhuk.

Apakah tegahan-tegahan Syarak ke atas atas orang yang berjunub?

Ditegah ke atas orang berjunub segala tegahan terhadap orang yang berhadas kecil tadi dengan ditambah dua lagi tegahan, iaitu;

1. Membaca al-Quran

Diharamkan ke atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu ayat. Tegahan ini disepakati oleh jumhur ulamak termasuk imam-imam mazhab empat iaitu Abu Hanifah, Malik, Syafi’ie dan Ahmad. Mereka berdalilkan hadis dari Saidina ‘Ali r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. sentiasa membaca al-Quran. Tidak ada sesuatu yang menghalangnya dari membaca al-Quran kecuali kerana jnub” (Riwayat al-Hakim, Ibnu Majah dan Ahmad. Hadis ini telah ditashihkan oleh al-Hakim). Mengikut riwayat at-Tirmizi, hadisnya berbunyi; “Rasulullah s.a.w. membaca kepada kami al-Quran pada setiap keadaan selama baginda tidak berjunub” (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Saidina ‘Ali r.a.. Berkata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh) Saidina ‘Ali pernah ditanya berkenaan seorang berjunub membaca al-Quran. Ia menjawab; “Tidak harus sekalipun satu huruf”. Adapun melihat kepada al-Quran atau membacanya dengan hati (tanpa menggerakkan lidah), ia tidaklah ditegah.

Namun larangan membaca al-Quran tersebut dikecualikan bagi yang dibaca dengan niat doa, memuji Allah, membuka majlis, mengajar, memohon perlindungan Allah dan berzikir. Contohnya; membaca Bismillah sebelum memulakan sesuatu, membaca “al-Hamdulillah” untuk bersyukur kepada Allah, membaca zikir ketika menaiki kenderaan dan sebagainya. Terdapat pandangan dari Imam Malik mengharuskan wanita haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali membaca al-Quran.

Terdapat ulamak-ulamak yang menganggahi pandangan jumhur ulamak di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhanya. Di kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. sentiasa berzikir kepada Allah pada setiap ketika/masanya” (Riwayat Imam Muslim). Membaca al-Quran termasuk di dalam pengertian zikir.

2. Berhenti/menetap/beriktikaf di dalam masjid

Diharamkan ke atas orang berjunub untuk berhenti atau duduk di dalam masjid termasuklah beriktikaf berdalilkan firman Allah dalam surah al-Nisa’, ayat 43 (yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan, dan begitu juga (jangan hampiri tempat solat, iaitu masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci…”. (an-Nisa’: 43). Begitu juga, berdalilkan sabda Nabi; “Sesungguhnya tidak halal (yakni tidak harus) masjid bagi wanita haid dan orang berjunub” (Riwayat Imam al-Baihaqi, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.. Kata al-Baihaqi; hadis ini soheh. Namun menurut Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya; Telah berkata Imam al-Khattabi; “Hadis ini telah didhaifkan oleh sekumpulan ulamak hadis”).

Diharuskan jika sekadar melalui/melintas (contohnya dari satu pintu ke satu pintu yang lain) sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam ayat di atas; “….kecuali kamu hendak melintas sahaja…”. Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Malik; keharusan melintas itu adalah secara keseluruhannya sama ada kerana keperluan atau saja-saja. Cuma bagi wanita yang kedatangan haid dan nifas, keharusan melintasi tersebut terikat dengan syarat tidak bimbang akan mencemarkan masjid. Maksudnya, jika ia khuatir semasa melintasi masjid itu darahnya akan menitis keluar, ditegah ia melintasi ruang masjid. Bagi Imam Abu Hanifah; tidak harus melintas kecuali kerana tidak ada jalan lain dan ia hendaklah mengambil wudhuk terlebih dahulu, kemudian baru melintas. Menurut Imam Ahmad; harus melintas jika ada hajat atau keperluan sahaja. Kalau tidak ada sebarang hajat atau keperluan, tidak harus melintas. Selain itu, Imam Ahmad berpendapat; orang yang berjunub harus duduk di dalam masjid jika ia mengambil wudhuk. Ia berdalilkan kepada riwayat A’tho’ bin Yasar (seorang Tabi’in) yang menceritakan; “Aku telah melihat beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w.; mereka duduk di dalam masjid sedangkan mereka berjunub apabila mereka telah mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk menunaikan solat”.( Lihat Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nisa’, ayat 43. Berkata Imam Ibnu Kathir; riwayat ini sanadnya adalah soheh mengikut syarat Imam Muslim). Bagi ulamak-ulamak yang lain, pengharaman tersebut tidak terangkat melainkan dengan mandi wajib. Adapun wudhuk ia tidak memberi kesan kepada pengharaman tersebut.

Pengharaman di atas adalah pandangan jumhur ulamak. Terdapat juga ulamak-ulamak yang tidak bersetuju dengan pandangan jumhur tersebut, antara mereka Imam al-Muzani, Daud az-Zahiri dan Ibnu al-Munzir. Bagi mereka; harus orang yang berjunub untuk menetap di dalam masjid secara mutlaknya, yakni tidak diharamkan. Mereka berdalilkan sabda Nabi s.a.w. yang menegaskan; “Seorang muslim tidaklah najis” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Imam al-Muzani berhujjah; “Orang musyrik diharuskan duduk di dalam masjid, maka orang muslim lebih utama diharuskan”. Hujjah mereka juga; “Asal hukum duduk di dalam masjid ialah harus hinggalah ada dalil yang kuat mengharamkanya. Dalil-dalil pengharaman yang dikemukakan oleh jumhur ulamak tadi semuanya lemah, tidak kuat”. Adapun ayat di atas, ia tidak bermaksud “menghampiri tempat solat, yakni masjid” tetapi “menghampiri solat itu sendiri” sebagaimana di awal ayat. Ungkapan “عابري سبيل” pula bukan bermaksud “orang-orang yang melintasi jalan” sebagaimana tafsiran jumhur di atas, tetapi bermaksud “orang-orang yang bermusafir”. Kesimpulannya, bagi pandangan kedua ini, ayat tersebut bermaksud; “Dan janganlah orang-orang yang berjunub menghampiri solat (yakni mengerjakannya) kecuali bagi orang-orang yang bermusafir (yang berjunub semasa musafirnya dan ia tidak menemui air untuk mandi, maka hendaklah ia mengerjakan solat dengan bertayammum hinggalah ia menemui air)”. (Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nisa’, ayat 43).

Apakah perkara-perkara yang dimakruhkan ke atas orang berjunub?

1. Tidur sebelum membasuh kemaluan dan mengambil wudhuk

Dimakruhkan ke atas orang berjunub tidur sebelum membasuh kemaluannya dan mengambil wudhuk. Ibnu Umar r.a. pernah bertanya Rasulullah s.a.w.; “Ya Rasulullah! Adakah harus seseorang dari kami tidur dalam keadaan ia berjunub?”. Baginda menjawab; “Ya, jika ia mengambil wudhuk” ( Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan; “Adalah Nabi s.a.w. jika ia hendak tidur semasa ia sedang berjunub, ia akan membasuh kemaluannya dan mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk solat” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

2. Makan atau minum kecuali setelah mengambil wudhuk terlebih dahulu.

Terdapat hadis menjelaskan; “Adalah Rasulullah s.a.w. semasa ia berjunub jika ia hendak makan atau minum, beliau akan mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk solat” (Riwayat Imam Muslim). Ammar bin Yasir r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memberi kelonggaran kepada orang berjunub jika ia hendak makan atau minum atau tidur asalkan ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi. Berkata Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh).

3. Kembali bersetubuh 

Orang yang berjunub makruh untuk kembali bersetubuh (sama ada dengan isteri yang sama atau isteri yang lain) kecuali setelah mengambil wudhuk terlebih dahulu. Diriwayatkan oleh Abi Sa’id al-Khudri r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Jika seseorang dari kamu telah mendatangi isterinya (yakni mensetubuhinya) kemudian ia ingin kembali bersetubuh, hendaklah ia mengambil wudhuk di antara keduanya (yakni di antara dua setubuh itu)” (Riwayat Imam Muslim).

Apakah tegahan-tegahan Syarak ke atas wanita yang kedatangan haid dan nifas?

Segala tegahan ke atas orang yang berhadas kecil dan berjunub di atas, juga ditegah wanita yang kedatangan haid dan nifas melakukannya. Selain itu, ditambah dua tegahan lagi iaitu;

1. Puasa

Wanita yang sedang haid dan nifas ditegah berpuasa termasuklah puasa Ramadhan. Jika darah haid atau nifas itu datang ketika ia sedang berpuasa, batallah puasanya. Abu Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. telah bertanya kaum wanita; “Bukankah kesaksian seorang wanita sama seperti separuh kesaksian seorang lelaki?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda kurangnya akal wanita”. Baginda bertanya lagi; “Bukankah jika kamu kedatangan haid, kamu tidak boleh mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lantas berkata; “Itu tanda kurangnya agama wanita” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.). Bagi puasa Ramadan, wajib ia menggantinya pada bulan yang lain.

2. Bersetubuh dan beristimta’ dengan suami pada batasan antara pusat hingga lutut

Haram seorang lelaki mensetubuhi isterinya pada farajnya ketika ia sedang haid atau nifas. Pengharaman ini disepakati oleh sekelian ulamak berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. (al-Baqarah; 222) Pengharaman mensetubuhi isteri yang kedatangan haid dan nifas ini berterusan hinggalah selepas mandi wajib. Jika darah haid atau nifas telah kering, namun belum dilakukan mandi wajib, tidak harus suami mensetubuhinya. Kesimpulannya, suami hendaklah menunggu hingga isterinya mandi wajib barulah ia harus mensetubuhinya.

Begitu juga, haram beristimta’ (berseronok) dengannya pada kawasan di antara pusat dengan lutut sekalipun tanpa bersetubuh mengikut pandangan jumhur ulamak termasuklah Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafi’ie. Menurut sebahagian ulamak (antaranya Imam Ahmad); yang diharamkan hanyalah mensetubuhi farajnya sahaja. Adapun beristimta’ sahaja (tanpa bersetubuh), tidaklah diharamkan termasuklah di kawasan antara pusat dan lutut, cuma dimakruhkan sahaja di kawasan tersebut. Pandangan kedua ini berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Orang-orang Yahudi apabila isteri mereka kedatangan haid, maka mereka tidak akan makan bersamanya, maka Nabi s.a.w. bersabda kepada orang-orang beriman; “Buatlah apa sahaja (dengan isteri kamu yang haid) kecuali nikah (yakni jimak atau bersetubuh)” (Riwayat Imam Muslim). Adapun beristimta’ dengannya pada bahagian lain dari kawasan antara pusat dan lutut atau sekadar mencium, memeluk, menyentuh atau sebagainya, hukumnya adalah harus dan halal dengan sepakat para ulamak.

3. Dijatuhkan talak ke atasnya 

Diharamkan suami menjatuhkan talak ke atas isterinya semasa ia sedang haid atau nifas kerana ia akan memanjangkan iddah. Tegahan ini berdalilkan hadis dari Abdullah bin Umar r.a. yang menceritakan bahawa dia telah menceraikan isterinya semasa isterinya sedang haid. Lalu bapanya (iaitu Saidina Umar r.a.) mengadu kepada Rasulullah s.a.w.. Rasulullah lalu berkata kepada Umar; “Perintahkan Abdullah supaya rujuk kembali isterinya. Kemudian jika ia mahu ceraikan isterinya itu apabila ia telah bersih dari haidnya atau ketika dia hamil” (Riwayat al-Jamaah kecuali Imam al-Bukhari dari Ibnu Umar).

Perhatian;

Semua tegahan Syarak ke atas wanita haid atau nifas tidak terangkat kecuali setelah ia mandi wajib melainkan tiga tegahan sahaja iaitu;
a) Puasa
b) Talak
c) Melintasi masjid.

Ketiga-tiga larangan di atas terangkat sebaik sahaja kering darah haid atau nifas, iaitu tidak disyaratkan selepas mandi barulah perkara-perkara tersebut boleh dilakukan. Adapun tegahan-tegahan yang lain (iaitu solat, memegang al-Quran, membacanya, tawaf, bersetubuh dengan suami dan sebagainya) tidak terangkat melainkan setelah mandi wajib.

Sunday, 25 December 2011

SEKILAS TENTANG j-QAF


KONSEP  PROGRAM  j-QAF
Program j-QAF adalah suatu usaha memperkasakan Pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain yang dilaksanakan di peringkat sekolah rendah. Pelaksanaan j-QAF menggunakan kurikulum serta model dan modulnya yang tersendiri. Tenaga guru yang khusus digunakan untuk pemulihan, bimbingan, kemahiran, pengukuhan, pengayaan dan penghayatan murid. Pelaksanaannya menggunakan peruntukan jadual waktu sedia ada.

OBJEKTIF PROGRAM j-QAF
Setelah program ini dilaksanakan dengan baik dan berkesan, semua murid Islam sekolah rendah akan dapat:
  • Menguasai bacaan dan tulisan jawi
  • Khatam al-Quran
  • Menguasai asas Bahasa Arab Komunikasi
  • Memantapkan dan menghayati amalan Fardhu Ain 
KEPENTINGAN PROGRAM j-QAF
Program j-QAF menjadi lebih penting sebagai suatu usaha ke arah memperkasakan PI yang sedia ada supaya semua bidang dalam PI iaitu bidang Tilawah al-Qur’an, bidang Aqidah, Ibadah, Sirah Nabawi Akhlak dan Jawi lebih berkesan dan dapat dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.

1.     Pemulihan Jawi
Jawi adalah sebahagian daripada komponen pendidikan Islam dan mula dilaksanakan pada tahun 2003 dengan pendekatan pengajaran 2 waktu seminggu pada 6 bulan pertama di tahun satu. Laporan pemantauan mengenainya mendapati penguasaan bacaan dan tulisan Jawi perlu dibaiki lagi. Ini bermakna jawi dalam pendidikan Islam semata- mata masih belum mencukupi dan berkesan. Oleh itu pemulihan Jawi dalam j-QAF menjadi keutamaan khasnya kepada murid tercicir supaya semua murid boleh menguasai Jawi setelah diberi bimbingan secara berterusan.

2.     Kepentingan Khatam al-Qur’an 
al-Quran pula telah diajar sebagai sebahagian Pendidikan Islam dalam bidang Asuhan Tilawah al–Quran pada masa ini. Namun ia tidak menekankan pembelajaran sehingga khatam al-Quran kerana ia memerlukan bimbingan berterusan daripada bilangan guru yang sesuai dengan nisbah murid yang menepati pendekatantalaqqi dan musyafahah (iaitu satu kaedah pembelajaran secara bersemuka dengan guru bagi mendengar, membetul kesalahan dan menyebut semula dengan baik dan lancar). Oleh itu PI pada masa ini hanya menjurus kepada kebolehan membaca sahaja manakala aspek khatam tidak ditekankan di sekolah tetapi menyerahkannya kepada masyarakat.

3.     Kepentingan Bahasa Arab
Status Bahasa Arab Sekolah Rendah pada masa ini sebagai mata pelajaran bahasa tambahan. Ia diajar di sekolah-sekolah rendah secara berpilih dan terhad. Tidak semua murid berpeluang mempelajarinya.

4.     Kepentingan Fardhu Ain
Ramai ibu bapa masih belum berpuas hati dengan tahap pencapaian dan penguasaan anak-anak mereka terhadap amalan Fardu Ain terutama dalam hal ibadah mendirikan solat. Tambahan pula Penilaian Perkara Asas Fardhu Ain (PAFA) yang dilaksanakan pada masa ini perlu dikaji dan disemak semula supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Oleh itu satu pendekatan baru perlu diperkenalkan bagi memantapkan perlaksanaan Fardhu Ain ini.



MODEL-MODEL PROGRAM j-QAF
Enam (6) model telah dikenalpasti akan dilaksanakan iaitu 5 model pengajaran dan 1 model kokurikulum. Model-model pengajaran adalah seperti berikut:
1. model Kelas Pemulihan Jawi;
2. model Tasmik;
3. model 6 bulan Khatam al-Quran;
4. model Perluasan Bahasa Arab Kumunikasi;
5. model Bestari Solat.

Bagi aktiviti-aktiviti pengukuhan pula yang telah dikenalpasti akan dilaksanakan adalah model-model berikut:
1. Kelab Seni Tulisan Jawi;
2. Kem Bina Juara;
3. Majlis Khatam al-Quran;
4. Kem Literasi al-Quran; dan
5. Pertandingan Bahasa Arab.

MODEL-MODEL j-QAF

1. Model Kelas Pemulihan Jawi
Model Pemulihan Jawi diperjelaskan di dalam Buku Panduan Perlaksanaan Model kelas Pemulihan Jawi. Ia akan diajar oleh guru khas pemulihan jawi dalam waktu yang sama dengan kelas jawi biasa di semua sekolah dengan menggunakan modul pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran. Semua sekolah hendaklah menubuhkan Kelab Seni Tulisan Jawi dan menjalankan aktiviti pengukuhan di peringkat sekolah dengan menyediakan bahan-bahan bacaan tambahan yang bersesuaian serta mempertingkatkan penggunaan kemudahan ICT sedia ada.

2. Model Khatam Al-Quran
Khatam Al-Quran diperjelaskan di dalam buku panduan Perlaksanaan Program Khatam Qur’an Model 6 Bulan dan Buku Panduan Program Khatam al-Qur’an Model Tasmik.
Model 6 Bulan dilaksanakan mengikut modul yang telah ditetapkan dengan menggunakan  peruntukan waktu PI sedia ada. Model ini akan menggunakan pendekatan talaqqi dan musyafahah. Murid yang belum menguasai bacaan al-Quran dibimbing dengan kaedah IQRA’, sementara yang telah menguasainya diteruskan menggunakan model khatam al-Quran. 
Model Tasmik pula dilaksanakan di luar waktu persekolahan normal mengikut kesesuaian dan keupayaan murid serta dengan persetujuan ibu bapa mereka dan kesediaan guru pembimbing yang terdiri daripada guru j-QAF, GPI, guru-guru mata pelajaran lain yang berkemampuan, atau pembimbing luar yang sesuai. Guru pembimbing tersebut hendaklah dilantik secara rasmi oleh pihak sekolah dan insentif khas wajar dipertimbangkan.

3. Model Bahasa Arab
Bahasa Arab Komunikasi (BAK) yang sedang dilaksanakan pada masa ini di sekolah-sekolah kebangsaan akan diperluaskan pelaksanaannya di semua sekolah. Status mata pelajaran ini adalah sebagai mata pelajaran pilihan. Walau bagaimanapun murid diwajibkan memilih BAK sekiranya tidak mengambil mata pelajaran Bahasa Cina dan Tamil. Peruntukan waktu adalah 60 minit seminggu dan diajar oleh guru Bahasa Arab yang dilantik khusus.